Blogroll


Showing posts with label AKBAR. Show all posts
Showing posts with label AKBAR. Show all posts

Monday, January 30, 2012

Pendidikan di sebalik tirai besi

 

TIDAK ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya.
Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara.
Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008.
Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.
Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu.
Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010.
Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka.
Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.
Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara.
Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus.
Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan.
Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.
Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga.
Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru.
Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu.
Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan.
Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.
Utusan Malaysia Online: 30 Januari 2012

Thursday, December 8, 2011

Tempoh 15 hari untuk pilih SBPA atau kekal dalam SSM

 

PUTRAJAYA - Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberi tempoh selama 15 hari mulai 16 hingga 30 Disember ini untuk memilih kekal dalam sistem saraan lama atau menerima sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menawarkan kenaikan gaji lebih baik.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah (gambar) berkata, selepas tempoh itu penjawat awam tidak lagi dibenarkan menukar sistem saraan dan mereka yang tidak memilih SBPA kekal dalam SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang sedia ada.
"Berdasarkan penyusunan gaji, kita percaya sebahagian besar penjawat awam akan memilih SBPA yang menawarkan pelbagai faedah dan insentif lebih baik.
"Bagaimanapun kita tidak akan memaksa penjawat awam memilih SBPA kerana mereka yang bekerja dan perlu menentukan pilihan sendiri," katanya pada sidang akhbar Pelancaran Pekeliling SBPA di pejabatnya di sini semalam.
Katanya, penjawat awam yang memilih SPBA berpeluang memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan dan pelbagai faedah lain.

Kosmo Online: 8 Disember 2011

Wednesday, November 16, 2011

Kaji semula guru bekerja 9 jam - NGO

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri mulai Januari ini dikaji semula.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, kajian itu perlu mengambil kira beban yang ditampung dan elaun tambahan kepada guru sekiranya mahu melaksanakan projek rintis itu.
"Seharusnya kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan beban guru. Contohnya, mewujudkan kakitangan sokongan iaitu pembantu pentadbiran agar dapat membuat kerja-kerja tersebut.
"Sebelum ini pun ada kajian mengenai beban guru oleh kementerian beberapa tahun lalu, namun hasil belum dihebahkan lagi. Saya minta agar kajian tersebut didedahkan segera," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia kelmarin bahawa kira-kira 5,000 guru di 104 sekolah akan menjadi perintis sistem waktu kerja sembilan jam mulai Januari ini.
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu kerja baru itu akan dilaksanakan di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamed Che Noh pula menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya masa kerja guru terlalu pendek iaitu setengah hari berbanding penjawat awam lain.
"Dalam konteks perguruan banyak aspek lain yang orang ramai perlu faham. Contohnya, guru mesti menyediakan rancangan pembelajaran harian dan mingguan, menanda kertas peperiksaan dan menyelia aktiviti di luar kelas.
"Jika dilaksanakan bererti masa sebenar guru akan menjadi sehingga 12 jam, bukannya sembilan, apabila dicampur dengan aktiviti sekolah yang lain. Masakan aktiviti kokurikulum diadakan pada hujung minggu. Kalau begitu maknanya guru tiada cuti," jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta semua pihak memahami tugas seorang guru yang berbeza dengan pekerja pejabat.
"Sekiranya kementerian tetap melaksanakan projek rintis itu, sewajarnya guru terlibat diberi elaun khusus sesuai dengan tambahan beban yang dipikul," ujarnya.
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula berkata, cadangan waktu tugas guru mengikut pejabat telah timbul sejak beberapa tahun lalu.
"Mungkin kementerian telah membuat kajian mengenai sistem ini dan seterusnya melaksanakan projek rintis agar mendapat maklum balas daripada guru dan mengkaji lebih mendalam tahap keberkesanan serta mengetahui kesesuaiannya," jelas bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu.

Utusan Malaysia Online: 15 November 2011
 

Minda Pengarang: Cadangan kerja sembilan jam atasi beban tugas guru

CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan program perintis sistem kerja sembilan jam bagi guru mulai Januari ini yang ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjadi isu terbaru yang hangat dibincangkan kelompok keguruan sekarang. Bagi kesatuan terbabit, cadangan menetapkan tempoh waktu kerja bagi guru adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan bagi menyokong pendirian ini ialah tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran pula mahu guru bersikap terbuka terhadap cadangan itu. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kelmarin, berkata program perintis itu hanyalah kajian awal yang membabitkan 5,000 guru di empat negeri. Sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya kepada keseluruhan warga perguruan belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil kajian itu yang mengambil masa enam bulan. Program perintis itu seperti dijelaskan Ka Siong adalah sebahagian daripada usaha menangani isu beban tugas guru yang dikatakan semakin berat sekarang. Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar.

Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari. Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu penyelesaian harus dicari bagi meringankan beban ini kerana lambat laun ia akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid. Apa sekali pun, kita yakin Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kebajikan guru dalam menilai buruk baiknya penetapan waktu kerja sembilan jam ini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya.

Berita Harian Online: 14 November 2011

Penyediaan penilaian prestasi guru berdasarkan penghasilan kerja

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ‘Guru Yang Kecewa, Rawang’ dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 22 Oktober – Guru kecewa jadi mangsa kroni sekolah di Selangor.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, penilaian prestasi ke atas seseorang pegawai, termasuk guru dibuat tidak hanya berdasarkan penghasilan kerja ditunjukkan pegawai atau guru itu saja. Penilaian prestasi hendaklah dibuat dengan merangkumi beberapa faktor seperti berikut:


  • Penghasilan kerja berbanding Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan, yang memberi markah sebanyak 50 peratus. Penghasilan kerja terbabit dinilai dari segi kuantiti kerja, kualiti kerja, ketepatan masa dan keberkesanan hasil kerja. Bagaimanapun, bagi seorang guru yang mengajar di kelas dan di bilik kuliah, penghasilan kerja mereka boleh diukur dengan menggunakan Buku Rekod mengajar masing-masing sebagai SKT yang akan dijadikan asas penilaian prestasi oleh pegawai penilai mereka;

  • Kualiti peribadi yang memberi markah 25 peratus, iaitu dinilai dari segi kebolehan mengelola, disiplin, proaktif dan inovatif serta jalinan hubungan dan kerjasama yang dipamerkan oleh pegawai;

  • Pengetahuan dan kemahiran pegawai yang memberi markah 20 peratus: dan

  • Kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi yang memberi markah lima peratus.
    Pengetua atau guru besar sebagai Pegawai Penilai juga bertanggungjawab menentukan penilaian prestasi dilaksanakan secara teratur, objektif, adil dan telus berdasarkan pencapaian kerja guru sepanjang tahun yang dinilai dan tidak dipengaruhi faktor peribadi dan penilaian tahun-tahun sebelumnya.

    Sehubungan itu, bagi memastikan penilaian prestasi guru dibuat adil dan telus, ketika penyediaan penilaian prestasi, pengetua atau guru besar sebagai Pegawai Penilai hendaklah berbincang dengan guru berkenaan mengenai pencapaian kerja mereka dan memaklumkan prestasi mereka secara keseluruhannya supaya guru berkenaan boleh memperbaiki prestasi kerja mereka pada masa akan datang.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PELAJARAN



  • Berita Harian Online: 15 November 2011

    Parlimen: Waktu Pengajaran Bahasa Inggeris Ditambah - Wee

    KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelajaran telah menambah waktu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) bagi mempertingkatkan kemampuan pelajar dalam mata pelajaran itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK ditambah dari 240 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi SJK Cina dan Tamil ditambah dari 60 minit menjadi 120 minit seminggu.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Ab Halim Ab Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai kaedah digunakan bagi memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah luar bandar pada persidangan Dewan Rakyat Rabu, Wee berkata kementerian turut menempatkan pembantu pengajar bahasa Inggeris dari luar negara di sekolah luar bandar bagi membantu mengajar dan memantapkan kemahiran berbahasa Inggeris.

    Mengenai faktor dan sebab membenarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Wee berkata semua tindakan yang diambil kementerian bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara dengan memantapkan pengisian dan cara pengajaran bagi menjamin para pelajar mendapat pendidikan berkualiti tinggi.

    Wee berkata kementerian juga membenarkan para pelajar yang telah mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia menggunakan bahasa itu sepenuhnya manakala pelajar yang mengikuti dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa itu sepenuhnya.

    "Kita tidak mahu prestasi pelajar terganggu. Jadi kita sediakan kertas soalan peperiksaan dwibahasa di mana mereka boleh memilih untuk menjawab mana-mana bahasa yang mereka selesa.

    "Jadi ini tidak boleh menjadi isu kerana kementerian sentiasa prihatin dengan pelajar dan tidak mahu membebankan mereka," katanya.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) sama ada akan berlaku percanggahan kerana pengajaran Sains dan Matematik di sekolah kembali menggunakan bahasa Inggeris sedangkan semua urusan rasmi mesti menggunakan bahasa Melayu, katanya:

    "Kita tak pernah tinggal bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa ilmu dan komunikasi, dan dengan adanya satu pemahaman bahasa, saya harap semua orang dapat kuasai bahasa Melayu dengan baik."

    Katanya Kementerian Pelajaran sentiasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan tertubuhnya satu jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan penglibatan agensi kerajaan dan swasta.

    "PM sendiri yang pantau setiap kempen yang kita jalankan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memastikan setiap urusan rasmi menggunakan bahasa kebangsaan, selaras dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan, " katanya.



    -- BERNAMA


    BERNAMA: 16 November 2011

    Tuesday, November 1, 2011

    Mansuh PPSMI bukan sekelip mata


    PENAMPANG 30 Okt. - Keputusan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan dibuat sekelip mata tetapi sebaliknya selepas mengambil kira pelbagai faktor kelebihan dan kekurangan.
    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa ia juga dibuat selepas meneliti secara mendalam suara 5.3 juta pelajar dan ibu bapa, hampir 500,000 guru di 10,000 buah sekolah seluruh negara dan tenaga pakar melalui rundingan meja bulat.
    Menurut beliau, segala maklum balas, kajian dan data ini diperoleh sejak PPSMI dilaksanakan di seluruh negara terutama mengenai kesan, pencapaian dan keupayaan kerajaan menyediakan tenaga guru mencukupi.
    "Ia bukan buat keputusan hanya kerana nak buat keputusan. Semuanya sudah dikaji secara mendalam, bukan dibuat secara terburu-buru.
    "Kita hormati Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang kononnya mendapat sokongan daripada 75,000 ibu bapa tetapi kerajaan juga mempunyai pandangan," katanya.
    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-26 Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini, hari ini.
    Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
    Beliau mengulas hasrat Page untuk menulis surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menarik balik pemansuhan PPSMI itu.
    Tambah Muhyiddin, negara ini adalah bebas yang bermakna mereka mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan dan kerajaan tidak akan sesekali menghalang kumpulan itu.
    Utusan Malaysia Online: 31 Oktober 2011

    Sunday, October 30, 2011

    Projek pendidikan: Kementerian Pelajaran setuju turunkan kuasa

    PENAMPANG 30 Okt. – Kementerian Pelajaran bersetuju menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan pemberian kontrak projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri itu.
    Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat kewajaran untuk menurunkan kuasa itu memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang besar terutama daripada segi jumlah atau saiz sekolah.
    "Sebenarnya dulu memang begitu... projek pendidikan di Sabah dan Sarawak di bawah jabatan kita yang ada di peringkat negeri tetapi beberapa tahun kebelakangan ini ia diurus pula oleh kementerian.
    "Saya dapati memang ada kewajaran untuk kita turunkan balik kuasa kepada Sabah dan Sarawak.
    “Satu cara ialah memberi kuasa kepada pengarah negeri untuk melihat bagaimana projek tertentu yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-26 di KDCA, dekat sini hari ini.
    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam ucapannya agar kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor Sabah untuk memperoleh kontrak bagi program yang mendapat peruntukan kerajaan Persekutuan. – Bernama
    Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2011

    Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir

    KUALA LUMPUR 29 Okt. - Memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan kaedah pembelajaran anak-anak mereka sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sukar dilaksanakan kerana ia boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam sistem pendidikan negara.
    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, langkah itu juga boleh mendatangkan masalah di peringkat Kementerian Pelajaran untuk merancang kaedah sesuai bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang sebaliknya.
    "Perkara ini sebenarnya sudah kita perhalusi, teliti dan pertimbangkan di peringkat kementerian.
    "Bukan kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka, tetapi kita mahu lihat pendekatan yang lebih sesuai dan itu yang sedang kita laksanakan ketika ini menerusi program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di sini hari ini.
    Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahukan kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri kaedah pendidikan sains dan matematik bagi anak-anak mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
    Muhyiddin menambah, keputusan kerajaan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dihormati semua pihak kerana ia hadir dengan jaminan bahawa bahasa Inggeris tidak sesekali dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.
    Sebagai contoh tegas beliau, kurikulum MBMMBI yang dilaksanakan tahun ini telah dirombak menjadi lebih menarik, tambahan masa pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan membawa guru penutur bahasa Inggeris untuk memantau guru-guru tempatan.
    "Saya percaya langkah-langkah yang diambil kerajaan ini akan membuahkan hasil dalam beberapa tempoh akan datang sebab adalah mustahil ia akan menunjukkan kejayaan dalam masa setahun dua," katanya.

    Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2011

    Saturday, October 29, 2011

    Pelajar miskin wajar dikecuali yuran PIBG

    Ahad, 16 Oktober 2011

    Pelajar miskin wajar dikecuali yuran PIBG

    MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain  (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja  selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2,  di Tumpat, semalam.
    MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2, di Tumpat, semalam.
    TUMPAT: Ibu bapa pelajar sekolah yang kurang berkemampuan perlu diberi pengecualian membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengelakkan mereka dibebankan bayaran untuk anak masing-masing.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keputusan menetapkan sejumlah bayaran oleh PIBG kepada ibu bapa pelajar sekolah perlulah dilakukan secara muafakat dan mengikut keutamaan.
    “Bukan mudah untuk menetapkannya (bayaran PIBG di sekolah) kerana ada ibu bapa di Kuala Lumpur dan Damansara Utama sanggup membayar lebih, jadi susah nak hadkan.
    “Bagi saya, biarlah PIBG buat keputusan secara muafakat dengan ahlinya untuk menentukan sesuatu yuran tambahan, saya sudah sebut banyak kali supaya tumpukan kepada yang utama, jika ibu bapa tak mampu sepatutnya dikecualikan,” katanya selepas Majlis Perasmian Smart Remaja di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 2 di sini, semalam.

    Hadir sama Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan PIBG diminta berunding dengan ibu bapa mengenai yuran yang mahu dikenakan kepada pelajar bagi mengelak timbul kekeliruan berikutan pemansuhan yuran sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

    Berikutan itu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah supaya setiap keputusan yang mahu dijalankan PIBG mesti mendapat persetujuan ibu bapa dan guru besar atau pengetua bagi mengelak berlaku sebarang masalah.
    Mengulas mengenai peruntukan tambahan RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dalam Bajet 2012, Dr Mohd Puad berkata, pihaknya menjangkakan masalah membabitkan bangunan 2,209 sekolah di seluruh negara yang rosak teruk dapat diselesaikan tahun depan.

    “Apabila dapat peruntukan tambahan menerusi tabung yang diumum Perdana Menteri, kita yakin boleh selesaikan tahun depan. Kebanyakan sekolah yang mengalami masalah berkenaan ialah di Sabah dan Sarawak, oleh itu, kita berharap dapat selesaikan secepat mungkin,” katanya.

    Berita Harian Online: 16 Oktober 2011

    JANGAN KIANATI MARTABAT BAHASA MELAYU


    KUALA LUMPUR 27 Okt. - Semua pihak diseru supaya tidak mengkhianati martabat bahasa Melayu dengan mempersoalkan tindakan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

    Seruan itu dikemukakan oleh 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berikutan wujud usaha segelintir pihak untuk mempertahankan PPSMI termasuk beberapa NGO dan akhbar berbahasa Inggeris yang dilihat cuba melaga-lagakan serta memecah-belahkan rakyat berhubung isu itu.

    Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Syukri Abdullah Sani yang mewakili NGO-NGO berkenaan berkata, demi kepentingan nasional, penggunaan bahasa Melayu perlu diutamakan berbanding bahasa lain termasuk bahasa Inggeris kerana ia menguntungkan segelintir kumpulan elit semata-mata.

    "Meneruskan PPSMI sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya adalah seperti mengkhianati keupayaan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi di rantau ini.

    "Bahasa Melayu bukan sekadar wahana ilmu, malah mengandungi nilai, budaya dan teras jati diri sebagai warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

    Hadir sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan; Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI, Hasni Abas dan Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Abu Qassim Nor Azmi.

    Turut hadir, Presiden Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (KPIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin dan Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad.

    Baru-baru ini, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta kerajaan menimbang semula keputusan memansuhkan PPSMI berikutan soal selidik yang dijalankan mereka selama empat bulan terhadap 15,000 responden daripada kalangan ibu bapa mendapati hampir 55 peratus tidak bersetuju dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu.

    Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) pula mahu sekolah aliran kebangsaan diberi pilihan untuk meneruskan dasar PPSMI.

    Kamal Syukri memberitahu, satu memorandum menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan, Sabtu ini.

    Sambil menyifatkan soal selidik JMM itu sebagai satu kajian tidak menyeluruh serta meragukan dan kenyataan PAGE tidak berasas, Abu Qassim pula menyifatkan tindakan kedua-dua pertubuhan itu seolah-olah mencabar keputusan Kabinet.
    "Mereka seperti membelakangkan segala kajian berhubung dasar tersebut oleh Kementerian Pelajaran dan memperlekeh kedaulatan bahasa kebangsaan di negara ini," ujarnya.

    Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

    SEKOLAH DALAM HOSPITAL DIPERLUASKAN

    JOHOR BAHRU 28 Okt. - Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen akan diperluas ke enam lagi hospital kerajaan pada tahun depan.

    Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, hospital yang dipilih adalah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    "Kita juga akan mewujudkan SDH di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur.

    "Kesemua SDH di hospital tersebut akan dilaksanakan tahun depan dan harapan kami setiap negeri akan memiliki sebuah SDH pada masa akan datang," katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan ke tapak projek SDH di HSA, di sini hari ini.

    Taklimat tersebut disampaikan Pengarah HSA, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican. Turut hadir, Fasilitator Projek Hati Nurani SDH, Dr. Noraini Zainal Abidin.

    Noorainee yang juga Penaung Projek Hati Nuraini berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan projek perintis SDH di sekitar Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang pada Julai lalu.

    "Saya bangga kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan beberapa hospital secara sukarela mewujudkan sekolah tersebut di hospital masing-masing.

    "Bagi memenuhi keperluan itu, guru-guru SDH yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengikuti latihan pengurusan dan pentadbiran program di Children's Hospital at Westmead, Sydney, Australia," katanya.
    Menurutnya, SDH kini satu keperluan dan menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan kemudahan tersebut bagi membolehkan pelajar yang mendapat rawatan tidak keciciran dalam pelajaran.

    Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2011

    BAHAN KSSR

    (NEW)
    *Elemen Merentas Kurikulum - (Kemaskini Jun 2011)
    *Panduan dan Peraturan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
    *Surat pekeliling ikhtisas bil 11_2010
    *Pekeliling Pelaksanaan KSSR PENDIDIKAN KHAS Tahap 1
    *Surat Siaran Pelaksanaan Modul Elektif KSSR
    *Konsep KSSR

    TAHUN 2 ( NEW )
    *Panduan Guru BM Thn 2 SK
    *Panduan Guru BM Thn 2 SJK
    *Bahan Taklimat KSSR Tahun 2 - (Kemaskini Jun 2011)
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Malaysia Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Inggeris Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Cina (SJKC) Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Tamil (SJKT) Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Matematik Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Pend. Kesihatan Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Pend. Islam Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Pend. Moral Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Dunia Seni Visual Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Dunia Seni Muzik Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Dunia Sains & Teknologi Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Arab Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Cina (SK) Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Tamil (SK) Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Iban Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Bahasa Kadazandusun Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Masalah Pendengaran Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Masalah Penglihatan Tahun 2
    *Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Masalah Pembelajaran Tahun 2

    TAHUN 1
    *Bahan Sokongan KSSR BM Tahun 1Bahan Sokongan KSSR BI Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR BC Tahun 1 SJKC
    *Bahan Sokongan KSSR BC Tahun 1 SK
    *Bahan Sokongan KSSR BT Tahun 1 SJKT
    *Bahan Sokongan KSSR BT Tahun 1 SK
    *Bahan Sokongan KSSR BA Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Pendidikan Islam Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Matematik Tahun 1 Versi BM
    *Bahan Sokongan KSSR Matematik Tahun 1 Versi BC dan BT
    *Bahan Sokongan KSSR Pendidikan Khas - Masalah Pendengaran Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Pendidikan Khas - Masalah Penglihatan Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Pendidikan Khas - Masalah Pembelajaran Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Pendidikan Jasmani Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Sains Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) Tahun 1
    *Bahan Sokongan KSSR Muzik Tahun 1Bahan Sokongan KSSR Seni Visual Tahun 1
    *Lagu BM
    *Senarai Nilai-nilai Murni

    Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran KSSR>>TAHUN 2 ( NEW )
    *Dokumen Standard Prestasi BM Tahun 2 SK
    *Dokumen Standard Prestasi BM Tahun 2 SJK
    *Dokumen Standard Prestasi BI Tahun 1 dan Tahun 2 SK
    *Dokumen Standard Prestasi BI Tahun 1 dan Tahun 2 SJK
    *Dokumen Stardard Prestasi Bahasa Cina Tahun 1 dan Tahun 2 SK
    *Dokumen Stardard Prestasi Bahasa Cina Tahun 1 dan Tahun 2 SJK
    *Dokumen Standard Prestasi Tamil Tahun 2 SK
    *Dokumen Standard Prestasi Tamil Tahun 2 SJK
    *Dokumen Standard Prestasi Matematik Tahun 2
    *Dokumen Standard Prestasi Pendidikan Jasmani Tahun2
    *Dokumen Standard Prestasi Pendidikan Kesihatan Tahun 2
    *Dokumen Standard Prestasi Pendidikan Islam Tahun 2
    *Dokumen Standard Prestasi Pendidikan Moral Tahun 2 Ver BM
    *Dokumen Standard Prestasi Pendidikan Moral Tahun 2 Ver BC
    *Dokumen Standard Prestasi Pendidikan Moral Tahun 2 Ver Tamil
    *Dokumen Standard Prestasi Dunia Seni Visual Tahun 2
    *Dokumen Standard Prestasi Dunia Muzik Tahun 2
    *Dokumen Standard Prestasi Dunia Sains dan Teknologi Tahun 2 Ver BM
    *Dokumen Standard Prestasi Dunia Sains dan Teknologi Tahun 2 Ver BC
    *Dokumen Standard Prestasi Dunia Sains dan Teknologi Tahun 2 Ver Tamil
    *Dokumen Standard Prestasi Bahasa Arab Tahun 2

    TAHUN 1
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Tahun 1 - SK
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Tahun 1 - SJK
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Inggeris Tahun 1 - SK
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Inggeris Tahun 1 - SJK
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Cina Tahun 1 - SJKC
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Cina Tahun 1 - SK
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Tamil Tahun 1 - SJKT
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Tamil Tahun 1 - SK
    *Dokumen Standard Bahasa Iban Tahun 1
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Kadazandusun Tahun 1
    *Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Arab Tahun 1 (Mei 2011)
    *Dokumen Standard Kurikulum Pendidikan Islam Tahun 1
    *Dokumen Standard Kurikulum Matematik Tahun 1 - Versi BM
    *Dokumen Standard Kurikulum Matematik Tahun 1 - Versi BC
    *Dokumen Standard Kurikulum Matematik Tahun 1 - Versi BT
    *Dokumen Standard Kurikulum Pend. Moral Tahun 1 - Versi BM
    *Dokumen Standard Kurikulum Pend. Moral Tahun 1 - Versi BC
    *Dokumen Standard Kurikulum Pend. Moral Tahun 1 - Versi BT
    *Dokumen Standard Kurikulum P. Jasmani Tahun 1 - Versi BM
    *Dokumen Standard Kurikulum P. Jasmani Tahun 1 - Versi BC
    *Dokumen Standard Kurikulum P. Jasmani Tahun 1 - Versi BT
    *Dokumen Standard Kurikulum Pend. Kesihatan Tahun 1
    *Dokumen Standard Kurikulum Dunia Sains dan Teknologi Tahun 1 - Versi BM
    *Dokumen Standard Kurikulum Muzik Tahun 1 - Versi BC *Dokumen Standard Kurikulum Muzik Tahun 1 - Versi BT *Dokumen Standard Kurikulum Pend. Seni Visual Tahun 1 - BM
    * Dokumen Standard Kurikulum Pend. Seni Visual Tahun 1 - BC
    * Dokumen Standard Kurikulum Pend. Seni Visual Tahun 1 - BT Pendidikan Khas - Masalah Pendengaran Pendidikan Khas - Masalah Penglihatan

    SATU MALAYSIA

    SATU MALAYSIA

     
    Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Enterprise Project Management