Ahad, 16 Oktober 2011
Pelajar miskin wajar dikecuali yuran PIBG
MOHD PUAD sambil diperhatikan Hussain (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta Smart Remaja selepas majlis perasmian program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Berangan 2, di Tumpat, semalam.
TUMPAT: Ibu bapa pelajar sekolah yang kurang berkemampuan perlu diberi pengecualian membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengelakkan mereka dibebankan bayaran untuk anak masing-masing.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keputusan menetapkan sejumlah bayaran oleh PIBG kepada ibu bapa pelajar sekolah perlulah dilakukan secara muafakat dan mengikut keutamaan.
“Bukan mudah untuk menetapkannya (bayaran PIBG di sekolah) kerana ada ibu bapa di Kuala Lumpur dan Damansara Utama sanggup membayar lebih, jadi susah nak hadkan.
“Bagi saya, biarlah PIBG buat keputusan secara muafakat dengan ahlinya untuk menentukan sesuatu yuran tambahan, saya sudah sebut banyak kali supaya tumpukan kepada yang utama, jika ibu bapa tak mampu sepatutnya dikecualikan,” katanya selepas Majlis Perasmian Smart Remaja di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 2 di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.
Sebelum ini, akhbar melaporkan PIBG diminta berunding dengan ibu bapa mengenai yuran yang mahu dikenakan kepada pelajar bagi mengelak timbul kekeliruan berikutan pemansuhan yuran sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
Berikutan itu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah supaya setiap keputusan yang mahu dijalankan PIBG mesti mendapat persetujuan ibu bapa dan guru besar atau pengetua bagi mengelak berlaku sebarang masalah.
Mengulas mengenai peruntukan tambahan RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dalam Bajet 2012, Dr Mohd Puad berkata, pihaknya menjangkakan masalah membabitkan bangunan 2,209 sekolah di seluruh negara yang rosak teruk dapat diselesaikan tahun depan.
“Apabila dapat peruntukan tambahan menerusi tabung yang diumum Perdana Menteri, kita yakin boleh selesaikan tahun depan. Kebanyakan sekolah yang mengalami masalah berkenaan ialah di Sabah dan Sarawak, oleh itu, kita berharap dapat selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Berita Harian Online: 16 Oktober 2011